2 Stigma Terhadap Penyakit Kemurungan

Apa yang kita lakukan apabila kita terjatuh dan lutut kita tercedera, berdarah, dan kesakitan?

Kita segera cuci luka kita, sapu ubat dan balut luka kita.

Begitu juga apabila kita melihat kawan kita yang terjatuh dan tercedera, mungkin juga patah kaki, kita akan segera bantu dia bangun, hantar ke klinik untuk dapatkan rawatan. 

Tiada sesiapa yang memiliki akal yang sihat akan mengatakan kepada kawannya; 

“Kau ni mengada-ngadalah nak terjatuh.”

“Luka tu kat kaki sahaja, move on lah.”

“Nabi dulu kena lagi teruk. Kau jatuh sikit dah mengadu sakit.”

“Kau tak ingat Tuhan / kurang zikir sebab itulah jatuh.”

Tetapi ramai yang tidak bertindak demikian apabila berhadapan dengan mereka yang menghadapi kemurungan (depression) dan ketika kesihatan mental mereka memerlukan bantuan dan rawatan.

Tidak lama dahulu, saya pernah terbaca satu tulisan yang berbaur stigma tentang kemurungan dan mengaitkannya pula dengan introversion.

Sebagai seorang introvert dan pernah didiagnosis dengan major depressive disorder (MDD), maka saya terpanggil untuk menceritakan kepada anda sedikit tentang stigma ini.

Stigma 1: Depression Ialah Introversion

Sebenarnya, depression dan introversion ialah dua hal yang berbeza.

Seorang introvert apabila mereka mahu menyendiri, ia merupakan pilihan introvert sendiri kerana mereka gembira dan senang dengan keadaan begitu – untuk mereka recharge tenaga sosial mereka. Introvert bukan anti-sosial (benci bersosial) atau asosial (tidak gemar bersosial), tetapi lebih kepada selectively social. Satu bentuk pilihan.

Manakala orang yang mengalami kemurungan cenderung mengurung diri menyendiri, enggan berjumpa dengan orang dan bersikap anti-sosial kerana kemurungan yang dihadapi. Dan kemurungan tersebut BUKAN pilihan mereka dan berada di luar kawalan mereka. 

Kebiasaannya, apabila kita berasa sedih kita akan terus mencari teman untuk kita meluahkan perasaan. Berbeza dengan orang yang mengalami kemurungan – kemurungan menjadikannya tidak mampu untuk berhadapan dengan orang, tambah lagi dengan stigma terhadap penyakit ini.

Apa itu kemurungan?

Penyakit kemurungan secara ringkasnya ialah apabila seseorang itu mengalami rasa murung melampau, mula berasa kosong dan rasa hopeless. Petanda-petanda fizikal lain ialah pesakit sukar fokus, insomnia (sukar tidur) atau hypersomnia (lebih tidur), selera makan tidak teratur atau hilang, berat badan meningkat mendadak atau menurun mendadak. Emosi pesakit pula tidak stabil, mudah sedih dan rasa irritated, sukar hendak buat keputusan, lebih suka menyendiri dan bermenung, kerap menangis, dan semakin lama kesedihan itu akan terus ada walaupun tiada apa yang menyedihkan berlaku.

Major depressive disorder (MDD) pula ialah keadaan kemurungan yang membuatkan kita gagal berfungsi dengan baik sebagaimana hari-hari biasa. Apabila tanda-tanda yang disebutkan di atas, terutama apabila kita mula merasa sedih dan kemurungan lebih daripada dua minggu.

Waktu kemurungan ialah waktu di mana fikiran kita diserang dengan intrusive thoughts (gangguan fikiran) – jika tidak dibantu, berisiko untuk ada self-harm ideation atau suicidal thoughts.

Saya masih ingat ketika itu seawal 2 Febuari 2017, saya mengambil keputusan untuk ke Klinik Kesihatan UM apabila saya mula merasakan yang fikiran saya semakin kerap ada suicidal thoughts lalu kemudian dirujuk ke Pusat Psikiatri PPUM. Hasil pertemuan dengan doktor, beliau mengesahkan saya ada MDD dan sebenarnya saya sudah ada kemurungan lebih lama daripada itu, cuma saya lambat menyedarinya kerana kesedaran kita terhadap penyakit mental sangat kurang.

Kemurungan yang berterusan tanpa bantuan sewajarnya akan cenderung menjadi MDD atau juga dipanggil clinical depression. Pada tahap ini, keadaan pesakit menjadi semakin teruk. Badan sentiasa terasa letih yang amat, rasa murung, sedih, cemas, takut semua bersatu dan berkecamuk melanda sepanjang hari, sukar hendak fokus dan semakin susah hendak mengingati sesuatu, insomnia atau hypersomnia semakin teruk, kalau tidur pun rasa seperti seakan-akan tak tidur (restless), dan sesetengah turut mengalami anxiety disorder dan panic attack disorder. Untuk melakukan aktiviti harian seperti mandi, makan, atau apa sahaja aktiviti yang boleh dilakukan oleh semua orang menjadi satu kesukaran besar.

BACA JUGA  Mengapa Kita Bertakbir Pada 1 Syawal

MDD menyebabkan apa-apa sahaja aktiviti yang biasanya membuatkan kita gembira atau hilangkan stres, tidak lagi menjadikan kita gembira dan dibiarkan tanpa dibantu. Main game, bersukan, bersosial, tengok tv, namakan apa sahaja, semua itu seolah-olah seperti satu beban besar dan tiada apa yang menggembirakan. Perasaan ketika itu, self-blaming yang amat tinggi, rasa tidak berguna yang amat, rasa macam nak termenung seharian meratap diri sendiri.

Orang yang depressed perlu dibantu, namun sayangnya sering kali ditohmah dengan kata-kata seperti; 

“Kau je yang fikir banyak sangat.”

“Mengada-ngadalah kau ni.”

“Kat luar sana tu ramai lagi yang kena lebih teruk daripada kau.”

“Takkan benda macam ini pun dah depressed?”

Dan banyak lagi kata-kata yang sebenarnya satu bentuk stigma, cuma kita yang kurang sedar tentangnya.

Stigma 2: Kemurungan Tidak Akan Berlaku Kalau Percaya Tuhan / Beriman

Saya datang dari sekolah berlatar belakang agama. Saya kemudian menyambung pengajian di Akademi Pengajian Islam. Ya, saya juga ikut usrah sudah lama, ia tidak asing bagi saya. 

Tetapi saya tetap mengalami kemurungan.

Saya mengenali beberapa kenalan yang mendalami pengajian agama baik di dalam negara mahupun di luar negara, bahkan akhlak juga amalan lebih baik dari saya sendiri, juga mengalami kemurungan.

Sesiapa pun boleh depressed.

Jika orang yang lemah imannya sahaja depressed, mengapa ada ateis yang tidak depressed?

Saya masih ingat ketika saya belum didiagnosis menghidap kemurungan, teman serumah saya menjadi saksi hampir setiap hari saya akan termenung dan menangis sendiri setiap kali hendak tidur, setiap kali selepas solat, semasa makan. Terlalu sedih, saya akan mengurung diri dalam bilik tempat teman serumah gosok dan gantung baju dan menangis sepuas-puasnya sampai saya letih nak menangis. Tetapi tetap tak dapat nak membuang kesedihan dan kesakitan di dada.

Teman-teman saya ada yang perasan saya sangat sukar hendakp fokus dalam kelas, selalu bergenang air mata sampai meleleh dalam kelas. 

Saya tahu ketika itu, sahabat-sahabat saya sendiri sukar hendak memahami saya, dan saya pun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada saya, cuma saya ada Allah sahaja untuk saya mengadu kerana tidak tahu kenapa dengan diri saya ketika itu.

Dalam ketika itu, saya tak menafikan ada yang berkata pada saya begini;

“Sebab hati kurang bergantung pada Allah, sebab tu kita sedih, kita tak yakin ada hikmahNya.”

“Kena banyakkan berzikir dan baca al-Quran, barulah dapat ketenangan.”

“Cuba ucap balik syahadah dan hayati maksud dia.”

 open book

Demikian stigma yang saya, juga anda yang mengalami kemurungan pernah hadapi. 

Ketika saya mula menulis perihal kemurungan ini dengan lebih terbuka, ramai yang menceritakan kepada saya pengalaman mereka. Ada yang dilabel tidak kuat iman, tidak jaga hubungan dengan Allah, tidak tahan ujian dan mengada-ngada, ada yang siap memetik sirah kemudian cakap, “Nabi dulu lagi teruk kena, tak ada pun kena depression. Sahabat, salafussoleh dulu mana ada yang depressed.”

BACA JUGA  Pengorbanan Menghidupkan Sebuah Penulisan

Stigma beginilah yang menyebabkan ramai orang yang sebenarnya mengalami simptom awal kemurungan, menjadi semakin teruk kerana takut didiskriminasi jika berjumpa doktor, takut dilabel dan dihukum, takut dicemuh dan sebagainya oleh masyarakat yang cepat benar menghukum sebelum berempati. 

Masyarakat kita sangat kurang kesedaran tentang kesihatan mental. 

Diskriminasi Kesihatan Mental

Benar, pendekatan rohani dan spiritual itu perlu. Bahkan makanan bagi jiwa kita. Akan tetapi, apabila kita sakit, lumrah dan sunnatullahnya ialah kita mendapatkan rawatan untuk merawatnya – baik kecederaan fizikal mahupun mental.

Pendekatan spiritual, kata doktor psikiatri saya, merupakan satu bentuk rawatan complimentary (melengkapi), dan bukan alternative (menggantikan).

Sebagai seorang beragama Islam pula, seharusnya apabila kita jumpa mereka yang bergelut dengan kemurungan, tanamkan empati, hulurkan kata-kata yang menenangkan. Jika kita tidak tahu hendak mengatakan apa, cukuplah dengan doa yang baik-baik. Bukan menghukum, bukan menyisih.

don't give up. You are not alone, you matter signage on metal fence

Kemurungan: Bukan Tiada Jalan Keluar

Mengalami fasa kemurungan ialah fasa yang membuatkan saya pernah merasakan dunia ini telah menghimpit saya dan saya tiada jalan keluar. Ketika itu saya hanya mahu putus asa, saya hanya mahu berhenti daripada pengajian saya, saya hanya sekadar mahu hidup dan tidak mahu mengejar apa-apa – lantaran terlalu tertekan dengan projek tahun akhir saya.

Alhamdulillah. Fasa itu telah berlalu. Saya mengambil cuti semester, bekerja sebentar, dan menambah lagi 4 semester untuk saya habiskan pengajian saya dengan tenang dan bergraduasi di umur 26 tahun. Episod hitam itu saya pernah nukilkan dan menjadi salah satu anekdot dalam buku Cerita Gagal terbitan IMAN Publication.

Berada dalam relung kemurungan ini tidak bermakna dunia kita telah berakhir dan dunia kita sudah tiada masa hadapan. Ada.

Buat anda yang punya kenalan atau ahli keluarga yang mengalami kemurungan – jadilah teman yang mendengar, yang berikan sokongan moral, aktif membuat bacaan tentang kesihatan mental dan berikan bantuan kepada teman. Berikan mereka kata-kata sokongan terutama apabila mereka merasa tidak percaya pada diri dan memerlukan kata sokongan.

Kepada yang membaca ini, semoga kita semua lebih terbuka kepada isu mental illness dan tidak prejudis terhadap isu ini.

Buat anda yang mengalami kemurungan – jangan takut untuk dapatkan bantuan profesional, jangan putus asa untuk reach out. Utamakan apa sahaja yang boleh membantu diri anda untuk menjaga kesihatan mental dengan lebih baik. 

Yakinlah, Tuhan sentiasa ada dan mendengar luahan dan remuk-redam kita, dan percaya, satu hari Dia akan mengeluarkan kita dari kegelapan ini kepada cahaya. Amiin.

Info tambahan buat rujukan:

Depression: What Is It?

http://www.webmd.com/depression/ss/slideshow-depression-overview 

Symptoms of Depression

http://www.webmd.com/depression/guide/detecting-depression#1 

Major Depression (Clinical Depression)

http://www.webmd.com/depression/guide/major-depression#1 

Untreated Depression

http://www.webmd.com/depression/guide/untreated-depression-effects#1 

Depression: 40% of Malaysians will suffer from mental health issues in their lifetime

http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/04/02/malaysians-will-suffer-from-mental-health-issues-in-their-lifetime/

Depression: How lack of awareness led to a tragic suicide

http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/04/02/depression-how-lack-of-awareness-led-to-a-tragic-suicide/

Depression: Poor conditions common in mental health care facilities

http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/04/02/depression-poor-conditions-common-in-mental-health-care-facilities/ 

Mental Health & Stigma

https://www.psychologytoday.com/blog/why-we-worry/201308/mental-health-stigma 

The effect of stigma and discrimination

https://www.time-to-change.org.uk/resources/research-reports-publications 

All in your head? The reality of mental illness

https://pintofscience.co.uk/event/all-in-your-head-the-reality-of-mental-illness 

“It’s All In Your Head”: An Observation of Mental Illness, Stigmas and Culture

http://www.hercampus.com/school/western-ontario/its-all-your-head-observation-mental-illness-stigmas-and-culture 

You can’t just “get over” mental illness

https://mindyourmind.ca/expression/blog/you-cant-just-get-over-mental-illness 

‘Get Over It’ Is Unhelpful Advice for Mental Illness Sufferers

https://www.healthyplace.com/blogs/survivingmentalhealthstigma/2016/09/get-over-it-is-not-helpful-advice-for-mental-illnesses/ 

Myths About Mental Illness

http://www.cmha.ca/mental_health/myths-about-mental-illness/ 

10 Reasons Why You Can’t “Just Get Over” A Mental Health Condition

http://newroadstreatment.org/recovery-why-you-cant-just-get-over-it/

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Syeraho,

Editor IMAN.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *