Kesunyian itu satu proses dalam kehidupan.

Kita merasa sunyi ketika tiada teman yang ingin mendengar cerita kita, rasa tidak didengari, tidak diterima oleh komuniti, ketika cita-cita kita tidak disambut oleh orang lain atau ketika terpisah dengan orang-orang yang kita sayang.

Rasa sunyi tidak semestinya kerana kita sendiri atau keseorangan. Ia boleh sahaja hadir walau ketika berada di tengah keramaian. Rasa kesunyian ini akan sering menghimpit kita. Rasa sesak di dada.

Kesunyian membuatkan kita jauh dengan cita-cita kita serta orang-orang yang kita sayang. Kita selalu merasakan takut dan ingin lari dari kesunyian. Ingin sentiasa merasa terisi dan penuh. Takut untuk merasa sunyi. Tapi membaca buku terbaru Imran ini membawa satu persepsi baru.

“Kesunyian itu sebenarnya satu proses yang perlu kita lalui dalam menuju kedewasaan. Kesunyian menjadikan kita lebih banyak merenung diri. Berfikir dengan lebih baik dan teliti” 

Kesunyian inilah yang dilalui oleh Nabi Yusuf dari kecil sehinggalah diangkat menjadi menteri. 

Bermula ketika baginda ditinggalkan oleh abang-abangnya semasa kecil keseorangan di dalam sebuah perigi. Al-Quran memberikan perincian, bahawa perigi itu ialah ghayabah aljubb (bahagian gelap sebuah perigi.) Sebuah perigi yang jauh dari bandar, tidak selamat, tidak dipedulikan, bahkan jarang digunakan.

قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا۟ يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ ٱلسَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ ١٠

Maksudnya: Salah seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu”.

Baginda dibuang, disingkirkan dan dipisahkan daripada ayahnya Yaakub. Bayangkan kesejukan, kekesalan, ketakutan dan kesunyian yang amat dirasakan baginda. Baginda masih seorang anak kecil ketika itu.

BACA JUGA  Healing Quotes to Inspire You

Tidak cukup dengan itu, kehidupan baginda diteruskan dengan menjadi barang dagangan. Menjadi hamba yang diherdik maki, ditolak-tolak, diperlakukan sesuka hati. Sudahlah dibuang keluarga sendiri, merindukan ayah yang begitu akrab dengan dirinya, kini baginda direndahkan harga dirinya.

Setelah baginda dibeli oleh seorang menteri dan dibawa ke istana menjadi hamba, kesunyiannya terus berpanjangan. Baginda dituduh menggoda isteri al-Aziz dan kemudian dipenjarakan berpuluh tahunnya. Tinggal pula bersama penjenayah dan terhalang lagi kebebasannya. 

Apa terjadi selepas episod kesunyian yang berpanjangan ini?

Akhirnya, baginda diangkat menjadi menteri yang berkuasa. Yusuf A.S kemudian berada di tampuk kekuasaan yang tidak mampu digugah. Menguruskan perbendaharaan negara. Menggubah polisi baharu dan mengemas kini sistem terkini berkaitan pembinaan gudang, pemilihan pekerja dan banyak lagi.

Maka berakhirlah episod kesunyian Yusuf A.S. Baginda bertemu semula adik kesayangannya Bunyamin, bertemu semula keluarganya dan tidak ada lagi kesunyian buat Yusuf A.S selepas itu. Hidup baginda sentiasa ditemani oleh orang-orang yang menghargai dan menyayanginya.

Begitulah al-Quran daripada kisah Yusuf A.S ini ingin gambarkan kepada kita.

Kesunyian itu satu proses untuk kita menuju kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan. Kesunyian membentuk kita menjadi peribadi yang kuat dan tahan dengan ujian. Selepas kesunyian yang kita rasakan, takkan ada lagi kegelapan. Perlahan-lahan cahaya akan hadir dalam hidup kita.

Fahami lagi tentang bagaimana kesunyian boleh menjadi salah satu proses kehidupan yang akan membentuk kita menjadi individu yang hebat dengan menghayati kisah Nabi Yusuf dalam buku ‘Berdamai dengan Ketidak pastian’ tulisan Imran Zaki.

Hidayah Hamid | Social media
Content Writer IMAN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *